Friday, May 21, 2010

TENTANG LESTARI

Latar Belakang | Hasrat | Definisi | Objektif | Komponen


LATAR BELAKANG

Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar merupakan program usahasama Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini telah dilancarkan secara rasminya oleh YB Dato Sri Hj Adenan Hj Satem, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan YB Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Januari 2005. Bersempena dengan majlis tersebut, dua buah dokumen bertajuk "Asas Pembentukan Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar" dan "Garispanduan Pelaksanaan dan Penilaian Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar" telah dilancarkan bertujuan untuk membantu pelaksanaan dan penilaian program ini di sekolah.

Dokumen ini bertujuan membantu sekolah memperkukuh proses pelaksanaan pendidikan alam sekitar sedia ada. Elemen pendidikan alam sekitar dapat diterapkan pada kalangan guru dan pelajar secara langsung dan komuniti setempat secara tidak langsung dengan mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni alam sekitar dalam kurikulum dan kokurikulum.

SEKOLAH LESTARI bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan. Penglibatan warga sekolah dalam aktiviti SEKOLAH LESTARI memberi peluang kepada mereka untuk mengamal, menghayati dan membudayakan ciri-ciri mesra alam di persekitaran sekolah, rumah, komuniti setempat, masyarakat dan negara.

0 comments:

Post a Comment